Sunday 20 February 2011

Rijal dari Madrasah Malam


Peringatan Buat Yang Sering Lupa dan Leka....Abnaulharakah...


Rijal dari Madrasah Malam....

Tetapi peringatan yang sempurna hanya dapat berlaku ketika waktu tenang dan sunyi.
Dari sinilah wujudnya kepentingan madrasah malam.
Dari sini juga lahir gesaan dan galakan Allah kepada orang-orang yang beriman agar sentiasa memperbaharui ciri-ciri orang yang beriman, iaitu ‘mereka sedikit tidur pada waktu malam, dan beristighfar pada waktu sahur (hujung malam)’.

Pada zaman awal Islam, seruan mu’azzin berkumandang kedengaran dengan menyeru:

“Wahai rijal malam, bersungguh-sungguhlah! Setiap suara (doa) tidak akan ditolak.

Tidak bangun malam melainkan orang yang kuat azam dan kesungguhannya.”

Sesungguhnya ia adalah benar-benar madrasah. Hanya melalui madrasah ini sahaja para rijalnya dapat menyalakan obor semangat mereka dan menyebarkan cahaya di seluruh pelusuk dunia yang sedang dibaluti kegelapan jahiliah.

Ia sebagaimana dialami oleh Iqbal dan disimpulkannya dalam beberapa bait berikut:

“Aku mengangis tika malam tenang dan hening. Manusia sedang tidur namun air mataku berguguran.
 Ruhku dihangati kedukaan dan kesedihan. Wirid ‘ya qayyum’ temanku dalam kegelapan.
Aku umpama lilin dan air mataku menyucikanku. Dalam kegelapan malam ku nyalakan oborku.
Orang ramai berkumpul mendapatkan cahaya dengan nurku. Ku nyalakan api dan membakar diriku.” 

Dakwah Islam hari ini tidak akan dapat ditegakkan selagimana para pendakwahnya tidak menyalakan obor mereka pada waktu malam. Cahaya dakwah juga tidak akan dapat bersinar seterusnya menghapuskan kegelapan jahiliyah kurun ke dua puluh selagimana ia tidak melaungkan ‘ya qayyum’.

Saya bukanlah orang pertama yang mengatakan demikian. Sebenarnya ia adalah wasiat Imam Hasan al-Banna ketika beliau berkata kepada para pendakwah:

“Minit-minit malam amat berharga. Janganlah kamu menjadikannya tidak bernilai dengan kealpaan kamu.” 

Adakah kita sudah tidak mampu lagi untuk mengembalikan semula ciri-ciri utama ini? Atau adakah kita terpedaya dengan ijtihad baru yang memungkinkan kita bermudah-mudah dan bermalas-malas?

Sesungguhnya perkataan Allah tidak berubah. Tetapi kita telah memurahkan minit-minit malam yang amat berharga itu dengan pelbagai kealpaan. Oleh itu, tanggungjawab terasa berat dan Allah tidak memberikan kemudahan di dalam segala urusan kita.

Kemenangan dakwah tidak dijamin oleh helaian kertas yang bertimbun. Tetapi ia berlaku dengan kembalinya orang yang ikhlas kepada kebiasaan asal yang sepatutnya. Apabila hati menjadi suci dengan melakukan taubat, dan peringatan ini dipatuhi oleh hati yang peka mendengar, maka ia akan menjadi penebus kepada kesilapan yang berlaku sekarang yang disebabkan oleh kealpaan berpanjangan.
Ini adalah satu syarat yang mesti dipenuhi.

Seolah-olah kita didinding daripada memperolehi kemenangan kerana kita menyeru dari sebalik tembok yang tebal. Kita hanya meninggikan suara memestikan Allah memberikan kita kemenangan begitu sahaja. Kita berjual beli dan menetapkan bahawa kita sudah mempunyai hak terhadap barang yang dibeli tanpa terlebih dahulu kita memberikan bayarannya yang berupa bisikan dan air mata di akhir malam. Sedangkan kemenangan adalah pemberian semata-mata yang dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya daripada kalangan penuntut madrasah malam dalam kehidupan di dunia ini. Allah tidak akan mengurangkan balasan pahala ganjaran sedikit pun di akhirat nanti, bahkan Dia akan memberikan balasan tersebut sepenuhnya.

Keikhlasan dan pembongkaran angan-angan dunia yang palsu merupakan antara kurniaan utama madrasah malam, sebagaimana dinyatakan oleh Walid. Sudut ini merupakan sudut yang sewajibnya ditekan dan diperdalamkan di dalam jiwa oleh sistem pentarbiahan kita.

Walid berkata (yang kata-katanya adalah benar):
“Wahai malam, berqiyam padamu adalah madrasah. Padanya, al-Quran mengajarku…
Tentang makna ikhlas, lalu aku berpegang dengannya, sebagai suatu sistem. Ia juga menempatkanku di dalam syurga.
Ia juga memperlihatkanku bagaimana dunia… melemaskanku di dalam angan-angan palsu.
Dunia umpama mengkarung. Pertukaran warnanya memperdayakanku melakukan dosa.
Lalu aku menjauhi dan memusuhinya. Aku mendapatinya cuba menerjah masuk ke dalam diriku.
Lalu ku perteguhkan hubungan diriku dengan Penciptanya… Zikir berpanjangan sentiasa memeliharaku.” 


Lebih daripada itu, orang yang berkelulusan daripada madrasah malam akan memberi kesan kepada generasi-generasi akan datang, sedangkan sesiapa yang tidak menyertai madrasah tersebut akan kering, keras dan hati orang yang memandangnya juga akan turut keras. 

Buktinya semenjak dahulu lagi terdapat di sisi Bishr bin al-Harith al-Hafiyy. Beliau menyaksikannya dan memberikan petunjuk kepada anda tentangnya. Beliau berkata:
“Cukuplah untuk anda tahu bahawa terdapat segolongan manusia yang sudah mati tetapi dengan mengingati mereka hati akan hidup. Sebaliknya terdapat juga segolongan manusia yang masih hidup tetapi hati akan menjadi mati dengan melihat kepada mereka.”

Ini tidak berlaku melainkan kerana malam-malam golongan pertama dihabiskan dengan berjaga, sedangkan malam-malam golongan kedua dihabiskan dengan tidur. Begitu juga siang hari golongan pertama dihabiskan dengan melakukan kerja-kerja yang serius sedangkan siang hari golongan kedua dihabiskan dengan memenuhi nafsu syahwat semata.

Ya Allah..ampunkan dosa-dosa kami yang lalu....

sumber: kitab ar-Rawaiq

Salam Juang,
Nor Latifah Othman

1 comment:

  1. Pengajian Syeikh Nuruddin : http://pondokhabib.files.wordpress.com/2011/02/1-sh-nur-mac.jpg

    Lain2 Majlis Ilmu : http://pondokhabib.wordpress.com/category/majlis-ilmu

    ReplyDelete

FEEDJIT Live Traffic Feed