Sunday 3 January 2010

GEN 7: Catatan Kembara Maahad Mansurah



Gambar Kedudukan Bumi Mansurah Di Mesir




Suasana Maahad


MAAHAD FATAYAT QIRAAT MANSURAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Syukur tidak terhingga kerana Allah masih memberikan saya sedikit ruang waktu untuk terus meniupkan nafas perjuangan kalam dakwah dalam blog usang ini....setelah sekian lama tidak dijenguk =)..artikel nie..nak promote kepada adik2 yang berada di Semester 6 di darul Quran..maila pakat2 kita berkampung di Mansurah(akhawat) dan Shoubro(ikhwah)sambung belajar di sini...khususan bagi pencinta ilmu Qiraat...kedatangan adik2 pasti bermakna jika Mesir destinasi pilhan...artikel ini telah dihasilkan oleh sahabat ana dari tahun 3 Qiraat...rupa-rupanya baru saya tahu, yang saya adalah generasi ketujuh di sini...dan pelajar malaysia adalah pelajar perintis Maahad Fatayat Mansurah....Allahuakbar!

Maahad Fatayat Qiraat Mansurah merupakan sebuah institusi yang menempatkan mahasiswi Pengajian Islam yang mengambil jurusan berkaitan ilmu al-Quran. Institusi ini mula beroperasi pada tahun 1998 bertempat di 'Uzbatul Syal, wilayah Daqahliyah, Mansurah, Mesir, berdekatan dengan kuliyah Banat Universiti al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir. Ianya merupakan salah satu cawangan daripada Maahad Qiraat lain yang ada di Mesir dan berada di bawah kelolaan badan pendidikan al- Azhar. Tujuan penubuhan, sasaran, sistem pengajian bagi institusi ini adalah sama dengan Maahad Qiraat Khazandarah Shoubra.

Pada awal penubuhannya, institusi ini hanya memperkenalkan dua kursus pengajian iaitu Kursus Pra Pengajian al-Quran (Mustawa Tajwid) dan Kursus Pengajian Tinggi al-Quran (Mustawa 'Aliyah)



Kursus Pra Pengajian al-Quran (Mustawa Tajwid) merupakan peringkat matrikulasi yang memperkenalkan pengajian Tajwid secara khusus mengikut riwayat Imam Hafs yang di ''naqal'' kan dari Imam "Asim berdasarkan riwayat Imam Syatibi dan kaedah al-Imam Ahmad Ibnu al-Jazari. Dalam tempoh kursus ini, pendedahan diberi dalam membahas dan mengkaji methodologi kedua-dua imam tersebut serta perbandingan yang menyeluruh di samping bahasa al-Quran serta ilmu pengajian Islam.

Kursus Pengajian Tinggi al-Quran (Mustawa 'Aliyah) pula merupakan kursus yang didedahkan tentang pengetahuan dan pengajian dari aspek pembacaan al-Quran yang sahih mengikut riwayat Imam al-Syatibi dan riwayat Imam yang masyhur berdasarkan kaedah al-Imam Ahmad Ibnu al-Jazari. Pembahasan dan pegajian terhadap methodologi al- Qiraat yang dibawa oleh para Imam Qiraat mutawatir dan Imam-imam yang masyhur mengikut satu kaedah yang khusus dan berasingan di samping pengajian ilmu khusus al- Quran dan Pengajian Islam.

Bilangan pelajar yang mendaftar adalah sekitar tiga puluh orang sahaja di mana kesemuanya adalah di kalangan penduduk Mesir sendiri. Manakala hanya dua orang tenaga pengajar yang berkhidmat pada waktu ini.




Sesi 2002 / 2003 merupakan sesi pertama Maahad Fatayat Qiraat Mansurah menerima kemasukan pelajar daripada Malaysia, di mana seramai empat orang pelajar daripada Kolej Hafiz Klang telah mendaftar pada tahun tersebut. Tenaga pengajar pada tahun ini adalah sekitar lima atau enam orang sahaja. Tahun 2003 juga merupakan tahun pertama diperkenalkan Kursus Pengajian Qiraat Khusus (Mustawa Takhassus). Kursus ini menjadi pilihan bagi semua pelajar Malaysia memandangkan pelajar Malaysia yang datang ke sini telah menamatkan Kursus Pengajian Tinggi al-Quran (Mustawa 'Aliyah) di Malaysia dengan kelulusan Diploma.


Kursus Pengajian Qiraat Khusus (Mustawa Takhassus) merupakan pengajian khusus Qiraat yang kolektif dan lebih praktikal terhadap bentuk pembacaan al-Quran yang sahih mengikut Imam-imam Qiraat yang Mutawatir dan Masyhur berdasarkan kaedah al- Imam Ibnu al- Jazari. Dalam mengkaji dan mendalami methodologi al- Qiraat yang dibawa oleh Imam-imam Qiraat terhadap rangkaian bentuk pembacaan dan bacaan yang berbentuk Mutawatir dan Masyhur berdasarkan dua kaedah cara yang menyeluruh, sejarah-sejarah imam Qiraat dan methodologinya serta Qiraat as-Syazzah turut diperkenalkan sebagai pengajian perbandingan al-Qiraat. Kajian dan pengajian terhadap ilmu-ilmu khusus pengajian al-Quran dan al-Qiraat dibahas secara terperinci dari sudut keperluan umat Islam, mukjizat agung Rasulullah S.A.W yang menzahirkan keharmonian dan keagungan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna lagi menyempurnakan mengikut perspektif al-Qiraat di samping ilmu-ilmu pengajian Islam. Bagi memantapkan tahap daya keterampilan dalam menguasai pengajian al-Quran dan al-Qiraat serta pendekatannya dalam bidang tersebut, latihan pengurusan pendidikan al- Quran juga turut diadakan sebagai persiapan menghadapi medan bakti dengan penuh yakin dan berwibawa berbekalkan manfaat ilmu yang berkat.


Setelah Kursus Pengajian Qiraat Khusus (Mustawa Takhassus) diperkenalkan , Maahad Fatayat Qiraat Mansurah mula menerima pertambahan kemasukan pelajar Malaysia lepasan Mahad Tahfiz al- Quran dari hampir seluruh pelusuk negeri di Malaysia.

Berikut merupakan senarai bilangan pelajar Malaysia yang mendaftar di institusi ini dari generasi pertama sehingga sekarang :

Generasi pertama : Kemasukan sesi 2002 / 2003 :
Seramai empat orang pelajar yang semuanya merupakan
pelajar lepasan Kolej Hafiz Klang.

Generasi ke dua : Kemasukan sesi 2003 / 2004 :

Seramai 13 orang pelajar yang merupakan pelajar lepasan
Kolej Hafiz Klang, Maahad Tahfiz Darul Quran Jakim dan
Maahad Tahfiz al- Quran Selangor.

Generasi ke tiga : Kemasukan sesi 2004 / 2005 :
Seramai 17 orang pelajar lepasan Maahad Tahfiz al- Quran
Selangor, Darul Quran Jakim, Johor dan Maahad Tahfiz
al- Quran Terengganu.

Generasi ke empat: Kemasukan sesi 2005 / 2006 :
Seramai 45/46 orang pelajar lepasan Maahad Tahfiz al- Quran
Darul Quran Jakim, Maahad Tahfiz Selangor, Maahad
Tahfiz Terengganu, Maahad Tahfiz Insaniah, Kolej Hafiz
Klang dan Maahad Tahfiz al- Quran Sabah

Generasi ke lima : Kemasukan sesi 2006 / 2007 :
Seramai 44 orang pelajar lepasan Maahad Tahfiz al- Quran
Pahang, Insaniah, Darul Quran Jakim, Maahad Tahfiz al-
Quran Amal Aimi Muzdalifa dan Kolej Hafiz Klang.


Generasi ke enam: Kemasukan sesi 2007 / 2008 :
Seramai 30 orang pelajar lepasan Maahad Tahfiz al –Quran
Pahang, Insaniah, Kolej Hafiz Klang, Maahad Tahfiz Amal
Aimi Muzdalifa, Maahad Tahfiz Johor, Terengganu dan
Darul Quran Jakim.

Generasi ke tujuh: Kemasukan sesi 2008 / 2009 :
Seramai 34 orang pelajar lepasan Maahad Tahfiz al- Quran
Terengganu, Johor, Pahang, Insaniah, Ihsaniah, Amal Aimi
Muzdalifa, Darul Quran Jakim dan Kolej Hafiz Klang, KUIS

Generasi ke lapan: Kemasukan sesi 2009 / 2010 :
Seramai 34 orang pelajar lepasan Maahad tahfiz al-Quran
Terengganu, Johor, Pahang, Darul Quran Jakim, Sabah,
Johor, Insaniah dan Selangor.


Sistem peperiksaan yang dilalui oleh pelajar yang menuntut di maahad ini adalah berbentuk penggal di mana mereka akan menghadapi hanya sekali peperiksaan dalam setahun. Peperiksaan merangkumi mata pelajaran mengikut sukatan pelajaran kursus masing- masing, termasuk mata pelajaran wajib iaitu 30 juzuk daripada al- Quran.

Waktu peperiksaan pula ialah di sekitar bulan empat dan lima. Manakala bagi calon syahadah atau tahun akhir iaitu tahun tiga, mereka akan menghadapi peperiksaan di sekitar bulan lima dan enam.

Bagi pelajar yang tidak lulus dalam peperiksaan kali pertama, mereka akan diberi peluang untuk mengambil peperiksan ulangan di sekitar bulan tujuh bagi pelajar tahun satu dan dua. Manakala peperiksaan ulangan bagi calon syahadah adalah di sekitar bulan lapan.

Bagi calon tahun akhir, seandainya mereka tidak berjaya melepasi peperiksaan ulangan kali kedua, mereka perlu mengulang tahun bagi mengambil semula semua mata pelajaran tahun tiga walaupun hanya satu atau dua sahaja mata pelajaran yang tidak lulus.

Keputusan bagi calon tahun satu dan dua pada sesi 2008 / 2009 telah mencatat peratus yang baik di mana seratus peratus lulus sekaligus mengulangi sejarah di mana pelajar Malaysia tidak pernah menghadapi peratus kegagalan bermula generasi pertama hingga generasi ketiga.

Pada tahun 2005, Mahaad Fatayat Qiraat telah di ''islah'' atau di ubah suai. Dalam tempoh ini, semua pelajar terpaksa berpindah ke Maahad Imam Syafie selama hampir setahun. Maahad ini terletak di kawasan Murur, Salam, berhampiran Kuliyah banin Universiti al- Azhar cawangan Mansurah. Kuliyah ini juga merupakan tempat pelajar lelaki Malaysia, Indonesia, dan negara-negara lain yang mengambil jurusan Bahasa Arab dan Usuludin di tempatkan. Maahad Fatayat Qiraat Mansurah kembali beroperasi setelah hampir setahun di ubah suai iaitu pada tahun 2006.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi sehingga kini, pelajar yang pernah mendaftar di institusi ini adalah sekitar lapan ratus orang termasuk pelajar Malaysia. Bilangan guru pada sesi ini semakin bertambah memandangkan bilangan pelajar yang berdaftar di sini semakin ramai di mana bilangan tenaga pengajar lelaki sekitar lima orang dan tenaga pengajar perempuan seramai sepuluh orang. Antara guru yang berkhidmat juga merupakan bekas pelajar Maahad Fatayat Qiraat Mansurah sendiri.



Sumber rujukan :

• Mudirah @ pengetua Maahad Fatayat Qiraat Mansurah sesi 2009 / 2010
• Pengurus pelajar Maahad Fatayat Qiraat Mansurah
• Blog ibnuazman.blogspot.com
• Guru yang berkhidmat di Maahad Fatayat Qiraat Mansurah
• Wakil Pelajar Malaysia yang pernah menuntut di Maahad Fatayat Qiraat Mansurah bagi setiap generasi



Salam Juang,
Nor Latifah Othman
Takhassus 2 qiraat

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum ukhti salam kenal, saya annisa dari indonesia, saya tertarik untuk ke ma'had ini, boleh saya minta email anti? ini email saya : annisanipran@yahoo.com

    ReplyDelete

FEEDJIT Live Traffic Feed