Showing posts with label Kajian Ilmiah. Show all posts
Showing posts with label Kajian Ilmiah. Show all posts

Wednesday, 2 November 2011

Siri 1 Pencerahan Isu Hukuman Hudud Terhadap Non-Muslim Dan Perspektif Jenayah Zina, Minum Arak, Curi, Hirabah (Gangster Atau Samun)


Mukaddimah

Sejak belakangan ini isu berkaitan hudud telah dibangkitkan semula sehingga menimbulkan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan hukum hudud. Semoga perbincangan ringkas terhadap beberapa jenayah yang membabitkan hudud dapat menjadi noktah awal ke arah kefahaman pelaksanaan hukum hudud yang membabitkan non Muslim.



1. ZINA (Bukan Rogol)


• Apabila non Muslim melakukan zina sama ada sesama mereka atau bersama orang Islam, para fuqahak berselisih pandangan dalam menentukan hukuman kepada penzina yang bukan beragama Islam:


• Perzinaan antara lelaki bukan Islam dengan wanita bukan Islam


- Menurut fuqahak hanafiyyah, Shafi‘iyyah dan hanbilah, non Muslim yang berzina sama ada lelaki atau perempuan akan dijatuhkan hukuman Hudud sekiranya mereka adalah Dzimmiyy. Sekiranya mereka adalah Harbiyy, mereka tidak dijatuhkan hukuman hudud (1).


- Menurut fuqahak Malikiyyah, non muslim yang berzina sama ada lelaki atau perempuan sama sekali tidak akan dijatuhkan hukuman hudud (2).


• Perzinaan antara non Islam dengan orang Islam


- Menurut fuqahak Malikiyyah, non Muslim yang berzina tidak akan dijatuhkan hukuman hudud sebaliknya mereka akan dijatuhkan hukuman yang keras berdasarkan kepercayaan agama mereka. Adapun wanita muslimah atau lelaki muslim yang rela berzina dengan non Muslim, orang Islam ini akan dijatuhkan hukuman

hudud.

- Menurut fuqahak Hanafiyyah, Syafi`iyyah dan Hanabilah, non muslim yang berzina dengan orang Islam sama ada lelaki atau  perempuan akan dijatuhkan hukuman hudud sekiranya mereka

adalah Dzimmiyy (3).

• Hukuman zina bagi penzina non Muslim


- Al-Malikiyyah berpandangan bahawa non Muslim yang berzina sama sekali tidak akan dijatuhkan hukuman hudud sebaliknya dikenakan hukuman berdasarkan agama mereka.


- Hanafiyyah berpandangan bahawa non Muslim yang berzina sama  sekali tidak akan dijatuhkan hukuman rejam sebaliknya hanya akan dijatuhkan hukuman sebat seratus kali sama ada mereka telah berkahwin ataupun masih bujang.


- Al-Shafi‘iyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa non muslim yang berstatus Dzimmiyy yang berzina adalah sama dengan orang Islam yang berzina dari sudut hukuman sebat bagi yang tidak pernah berkahwin dan hukuman rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin.(4)


• Pandangan kami :


- Kami berpandang bahawa non Muslim yang berzina sesama mereka tidak dijatuhkan hukuman Hudud dengan berpegang pada pandangan Malikiyyah bagi meraikan situasi non Muslim yang baru ingin berjinak-jinak dengan undang-undang Islam. Walau bagaimanapun demi menjaga maruah dan moral, non Muslim yang berzina perlu dijatuhkan hukuman yang difikirkan sesuai oleh agama dan adat resam mereka.


- Sekiranya non Muslim sama ada lelaki atau perempuan berzina dengan orang Islam, mereka perlu dijatuhkan hukuman hudud dengan berpegang pada pandangan Hanafiyyah. Ini kerana membabitkan orang Islam dan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan nasab dan pembunuhan bayi yang berstatus tidak sah. Kami tidak cenderung kepada pandangan Shafi‘iyyah dan Hanabilah kerana non Muslim di Malaysia masih terlalu asing dengan hukuman Hudud apatah lagi dengan pelaksanaan hukuman rejam sampai mati kepada penzina non Muslim yang telah berkahwin. Kami juga tidak cenderung kepada pandangan Malikiyyah kerana berkemungkinan hukuman yang bakal diputuskan oleh agama dan adat resam non Muslim tidak menghalangnya untuk berzina lagi dengan orang Islam.



2. ARAK 



• Menurut pandangan sebahagian Hanafiyyah, non Muslim yang minum arak tidak dikenakan hukuman hudud (5). Malikiyyah, Shafi‘iyyah dan Hanabilah turut menyatakan bahawa non Muslim
yang minum arak tidak dijatuhkan hukuman hudud.(6)

• Pandangan kami:


- Non Muslim tidak dikenakan hukuman hudud apabila mereka minum arak.


- Non Muslim akan dikenakan hukuman Ta‘zir sekiranya tindakan mereka meminum arak mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Oleh itu, non Muslim yang didapati memandu dalam keadaan mabuk mesti diambil tindakan Ta‘zir.


- Non Muslim akan dikenakan hukuman Ta‘zir apabila mereka mengajak orang Islam minum arak.



3. Hirabah (Gangster atau Rompakan)


• Hanafiyyah dan Shafi‘iyyah menyatakan bahawa non Muslim yang berstatus Dzimmiyy apabila terlibat dalam jenayah rompakan akan dijatuhkan hukuman Hirabah (7). Malikiyyah juga secara zahirnya turut

berpandangan dengan pandangan yang sama apabila mereka tidak pula mensyaratkan bahawa penjenayah Hirabah hendaklah seorang muslim.

• Pandangan kami


- Non Muslim yang terlibat dalam jenayah Hirabah hendaklah dijatuhkan hukuman Hirabah (bergantung kepada jenis jenayah Hirabah yang dilakukan) agar keamanan negara dapat dicapai. Sekiranya non Muslim yang terbabit diberikan peluang undangundang sivil, berkemungkinan hukuman sivil tidak dapat menggerunkan penjenayah lalu mengakibatkan rentetan jenayah Hirabah yang terus mengganggu keamanan penduduk muslim dan non muslim.


- Ini bermakna sekiranya kumpulan penjenayah Hirabah terdiri daripada gabungan non Muslim dan orang Islam; dan mereka telah merompak atau membunuh atau kedua-duanya sekali, maka kesemua mereka hendaklah dijatuhkan hukuman hudud tanpa berkecuali.


- Sekiranya penjenayah Hirabah hanya menakut-nakutkan orang ramai tanpa ada sebarang jenayah samun atau bunuh atau keduaduanya sekali, maka mereka akan dijatuhkan hukuman Ta‘zir.



4. MENCURI


• Hanafiyyah, Malikiyyah, Shafi‘iyyah dan Hanabilah menyatakan bahawa non Muslim yang berstatus Dzimmiyy apabila mencuri akan dijatuhkan hukuman hudud (8).


• Pandangan kami :


- Berdasarkan pembacaan kami, kami tidak menemui sebarang pandangan fuqahak yang menyatakan bahawa non Muslim tidak dikenaan hukuman potong tangan apabila mencuri. Maka yang diwajibkan oleh Allah adalah pencuri daripada kalangan non Muslim hendaklah dipotong tangan.


- Walau bagaimanapun, kami merasakan non Muslim secara umumnya tidak akan bersetuju dengan kewajipan ini disebabkan mereka menganggap pemotongan tangan adalah tindakan yang tidak bersifat ketamadunan yang akan memburukkan lagi pandangan mereka terhadap Islam.


- Maka atas dasar meraikan kaedah ’Akhaff al-Dararayn (Kemudharatan yang paling ringan) kami mencadangkan agar dilaksanakan hukuman seperti berikut:


o Apabila jenayah curi berlaku sesama non Muslim, maka mereka diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan sistem perundangan Islam atau sivil


o Apabila pencuri adalah non Muslim manakala harta yang dicuri adalah milik orang Islam, maka non Muslim tersebuthendaklah dibicarakan berasaskan undang-undang Jenayah Islam yang boleh membawa kepada hukuman potong tangan.


- Cadangan hukuman ini dijangkakan akan membawa kepada keamanan harta benda milik orang Islam. Kami menjangkakan sistem hukuman sivil yang tidak dapat mengurangkan kadar kecurian antara sesama non Muslim akan membuka mata non Muslim sendiri untuk memilih undang-undang jenayah Islam.



وصلى الله على سيدنا ومولانا محمد
وعلى آله وصحبه وبارك وسلم
والحمد لله رب العالمين   



Disediakan oleh :

Felo MANHAL PMRAM
1. Mohamad Hanif bin Haron
2. Hairul Nizam bin Mat Hussin
3. Ahmad Hakim bin Azizan
4. Moh Shafiq bin Sahimi

Bersama BPAP :
1. Ahmad Zamzami bin Che Daud
_______________________________________

Rujukan : 

(1) Lihat Hashiyah al-Dusuqi beserta al-Sharh al-Kabir 4/313 dan Hashiyah al-‘Adawi beserta Kifayat al-Talib al-Rabbani 4/74.
(2)Lihat Sharh Fath al-Qadir 5/235, Hashiyah al-Bayjuri 2/338.

(3) Lihat Sharh Fath al-Qadir 5/226 dan Radd al-Mukhtar 6/5, 6/22.


(4) Fath  al-Rahman m/s 893-894 dan Hashiyah al-Bayjuri 2/338.

(5) Lihat Radd al-Mukhtar 6/55


(6) Hashiyah al-Khurashi 8/342, Hashiyah al-Dusuki 4/353, Fath al-Rahman m/s 910, Hashiyah al-Bayjuri   2/349, Hashiyah al-Rawd al-Murbi‘ 7/341.



(7) Lihat Radd al-Mukhtar 6/184, Fath al-Rahman m/s 904-905, Hashiyah al-Bayjuri 2/361-362

(8) Radd al-Mukhtar 6/137, Hasyiyah al-Dusuqi 4/332, Hasyiyah al-Baijuri 2/355

Saturday, 7 May 2011

Hiburan Menurut Pandangan Islam

Kumpulan Nasyid Al-Wadi PMRAM

Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirrahmanirrahim…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang....

Alhamdulillah puji dan syukur ke hadrat Allah, selawat dan salam buat Rasul junjungan, kekasih hati, penghibur jiwa dan pembakar semangat, pembawa risalah khalidah ke akhir zaman, para ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, para tabiin dan tabi' tabiin, mujahid dan mujahidah Islam yang sedang berjihad dan berjuang di medan..moga Islam terus bersinar  di setiap pelusuk dunia..insyaAllah
.


Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh  dunia. Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:
"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."
Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:
"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."
Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.
Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.
Kesimpulan:
Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.
Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.

Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.



sumber: blog manhal pmram

Salam Imtihan,
Nor Latifah Othman
Tahun 3 Takhassus Qiraat

FEEDJIT Live Traffic Feed