Sunday 26 February 2012

Anak Saudara Mak Lang Part 2

                                Muhammad 'Aqil b. Abdul Kuddus (2 tahun)



Ahmad Syauqi b. Abdul Kuddus (8 bulan)


Ahmad Mu'az b. Fakhruddin (5 bulan)

Bismillahirrahmanirrahim.

Begitu cepat masa berlalu.Hampir 4 tahun saya bermusafir ke Mesir, tidak sangka dah ada 3 orang anak buah. Moga anak-anak saudara mak lang menjadi anak yang soleh, insyaAllah..Ameen.


Salam Musafir,
Nor Latifah Othman
Mansurah




Friday 17 February 2012

Allah always with you!



Bismillahirrahmanirrahim.

Saudaraku,

Ada kalanya kita penat berusaha, kita penat berkorban dan kita penat mengalah. Tetapi percayalah, sebenarnya penat itulah yang menjadikan kita kuat dan terciptanya watak hebat, jika kita bersabar. Jika sedetik kita mampu mengingati Allah swt, demikian detik2 yang lainnya mampu mengubah kehidupan..ameeen.


Saudaraku,

Setiap kali Allah menutup pintu rezeki atau kebahagiaan, dia akan membuka enam atau tujuh pintu yang lain. Tetapi di saat kita melihat dunia ini dengan penuh kegelapan, saat itu ketahuilah bahawa al Wakiil tidak pernah menyiakan kita, bahkan Dia akan membuka pintu yang lebih baik untuk kita dan lebih kita redhai. Itulah al Wakiil. Al Wakiil tidak pernah membiarkan kita sahaja. Dia tidak pernah menghalangi satu rezeki pun kepada kita. Apabila Dia berkuasa menghalangi, maka ketika itulah Dia mahukan kita memikirkan hikmahnya- bahawa Allah swt membuka jalan rezeki dengan menutup jalan rezeki yang lain- atau untuk menguji dan mengampuni kita, sehingga kita keluar dari dunia sebagai penghuni syurga. Lalu, wahai manusia, mengapakah kamu enggan bertawakkal? Betapa besarnya kerajaan Allah swt dan pengaturannya terhadap alam semesta ini, hingga kita tahu betapa layaknya kita bertawakkal pada Allah swt sahaja: 










Usahlah didoakan dikecilkan ujian, tetapi doakanlah dibesarkan jiwa dan dikuatkan iman menghadapinya :)

al-faqirah ila Allah,
Nor Latifah Othman
Mansurah.








Monday 30 January 2012

Anak Muda Pengisi Kemenangan Malaysia

Ucapan Mursiyidul Am di Muktamar Tullab Ikhwanul Muslimin.

 

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.Allahuakbar!

Lama benar saya tidak mencoret. Saya masih di Mesir. Menghabiskan masa-masa berbaki membuat bekal dengan sebaik mungkin. Ramai yang sudah pulang ke Malaysia, berkhidmat kepada negara dan kedua ibu bapa, tetapi masih ramai juga yang berada di ardil kinanah terus istiqamah dan gigih menuntut ilmu. Allahuakbar. Moga Allah terus membantu mujahid-mujahidah pencinta ilmu yang masih di sini,thabat di medan ilmu sehingga ke akhirnya.

Saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat semua, ucapan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin pada tahun lepas. Harapan seorang mursyid kepada kita generasi pelapis ulama' dan umara Malaysia. Moga artikel ini, mampu menjadi booster kepada kita semua.Selamat Membaca!

"Kita Pengisi Kemenangan Malaysia"

 

Anak-anakku muda mudi tercinta,

Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemelingannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat dan di hadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan, tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.

Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi reality dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. (maksudnya): 

“Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.” 

Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib ke atas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.

1.Kewajipan terhadap diri sendiri

Sesungguhnya kamu kini berada pada peringkat usia paling subur dan paling kuat. Maka wajib ke atas kamu memelihara kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Yang aku maksudkan dengan kekuatan di sini ialah semua jenis dan semua anasirnya, iaitu kekuatan lahiriah, maknawiah, ruhiah, jasadiah dan sebagainya. Kamu kini berada pada peringkat kuat di antara dua peringkat lemah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:

Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban…” Ar-Rum:54

Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang peringkat ini sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seseorang hamba sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana ia dihabiskan? Tentang usia mudanya, untuk apa ia digunakan?…” Lihat, meskipun muda itu sudah termasuk dalam usia keseluruhannya, namun baginda sebut secara khusus tentangnya memandangkan kepentingan usia peringkat ini.

Kita perhatikan di dalam Hadis tersebut, Nabi s.a.w. mengibaratkan usia muda itu laksana pakaian yang kita pakai untuk satu tempoh tertentu, kemudian kita menaggalkannya. Maka wajar bagi kita mengambil peluang menggunakan usia muda dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa muda adalah satu nikmat paling besar sepanjang usia keseluruhannya dan ia adalah salah satu nikmat yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan masa lapang.

Justeru, hendaklah kamu mempertingkatkan diri kamu dari aspek keimanan, keruhanian, ibadah, ilmu, pembelajaran, sukan dan pelbagai bidang agar kamu menjadi insan yang berguna kepada agama, tanah air, umat dan diri kamu. Sejauh mana besarnya dan beratnya tanggungjawab kamu, maka sekadar itulah persiapan yang kamu harus lakukan untuk memikul tanggugjawab itu. Setinggi mana matalamat yang hendak dicapai, setinggi itulah usaha yang mesti dicurahkan untuk merealisasikannya, dan pastinya ganjarannya juga besar dengan izin Allah.

Maka hendaklah kamu mengelokkan hubungan kamu dengan Allah sama ada ketika rahsia dan terbuka. Jangan kamu lakukan perkara yang mendatangkan kemurkaanNya. Hendaklah kamu memohon pertolongan dan bantuanNya. Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Putera puteriku yang disayangi,

Jangan kamu memandang remeh terhadap diri kamu, usaha kamu dan tenaga kamu. Sikap itu tidak boleh dikira sebagai warak langsung. Sesungguhnya sungai-sungai di dalam dunia ini terbentuk daripada titisan air hujan jika air hujan itu dukumpulkan pada satu aliran dan pada waktu yang sama. Namun awas! Jangan pula kamu sombong dan terpedaya kerana sifat sombong walaupun sebesar zarah membuatkan kita haram masuk syurga. Maka hendaklah kamu yakin pada diri kamu, potensi kamu dan keupayaan kamu. Hendaklah kamu belajar dari mereka yang terdahulu daripada kamu. Sesungguhnya hikmah itu pencarian mukmin. Di mana saja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya.

Realisasikan pada diri kamu 10 sifat individu muslim yang telah digariskan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah. Jadikan ia manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu kamu. 10 sifat itu ialah: jasad yang kuat, akhlak yang mantap, fikiran yang bermaklumat, mampu bekerja, aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, bermujahadah melawan nafsu, sangat menjaga waktu, urusannya tersusun, berguna untuk orang lain.” Sifat-sifat inilah yang menjadi tonggak pembentukan sahsiah mutakamilah yang mampu memikul beban dalam perjalanan membina umat yang maju, cemerlang dan gemilang.

Jadikan diri kamu sebagai qudwah solehah bagi orang sekeliling kamu, sama ada orang yang committed dengan Islam atau tidak, bahkan bagi orang Islam dan bukan Islam. Aku mengingatkan kamu agar berlaku ihsan dalam semua bidang, dalam bidang akdemik, akhlak, kelakuan, berbakti kepada kedua ibu bapa, dakwah kepada Allah, berkhidmat kepada manusia, taat kepada Allah, cintakan tanah air, keluarga dan warganegara seluruhnya.

Jadilah kamu orang yang berenovatif dan kreatif. Keluarkan seluruh keupayaan kamu, gunakan ia untuk berkhidmat kepada tanahair kamu supaya seluruh alam berbangga dengan kamu. Hendaklah kamu jadi orang yang pakar dan mahir dalam pelbagai bidang dan pelbagai jurusan. Semua ini tidak akan terlaksana melainkan dengan ilmu, amal, sabar dan gigih.

Berhati-hatilah kamu dari penyakit hati dan hawa nafsunya. Ketahuilah bahawa orang yang mampu menguasai dirinya, maka dia akan mampu menguasai orang lain. Maka ikhlaskan diri kamu kepada Allah dan taatilah Dia. Perelokkan amal kamu, curahkan tenaga kamu, nescaya Allah redha kepada kamu, umat kamu akan maju dan terlaksanalah matlamat kamu.

Pastikan kamu bersahabat dengan orang yang baik dan orang yang dapat membantu kamu dalam mentaati Allah dan memajukan diri kamu dalam segenap lapangan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat itu ialah orang yang apabila kamu ingat kepada Allah, dia membantu kamu dan apabila kamu lupa, dia mengingatkan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Jangan kamu memandang rendah kepada diri kamu dan usia kamu. Berapa ramai sudah pemuda yang telah mengubah wajah sejarah. Di dalam sirah dan sejarah lama dan baru terdapat fakta yang menyokong kata-kataku ini. Maka jadilah kamu pemuda jenis ini, yang sirahnya ditulis dengan huruf-huruf daripada cahaya dan dengan tinta daripada emas.

Maka tanggungjawab kamu sangat besar, lebih-lebih lagi selepas revolusi Arab yang hebat. Dan para pemuda telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam menjayakan revolusi tersebut. Mereka bekerjasama dengan semua golongan rakyat dan menyatukan seluruh kekuatan yang ada. Ketahuilah bahawa revolusi belum lagi berakhir sehingga terlaksana matlamat kita sepenuhnya. Inilah yang menuntut kita mencurahkan tenaga, menambahkan sumbangan lagi dan lagi sehingga revolusi ini masak ranum dan Negara kita terangkat maju ke hadapan.

2.Kewajipan terhadap kedua ibu bapa

Ingatlah Allah dan ingatlah pesanan Allah mengenai ibu bapa kamu. Mereka adalah jalan kamu menuju ke syurga. Maka berbaktilah kepada mereka, taatilah mereka, dekatkan diri dengan mereka, berusahalah untuk menunaikan hajat mereka dan berendah dirilah dengan mereka. Elakkan diri kamu dari perkara yang menimbulkan kemarahan mereka atau melanggar suruhan mereka dalam perkara yang makruf. Firman Allah bermaksud: 

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…” Al-Isra’:23

Di dalam mentafsir firman Allah yang bermaksud “maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”, sebahagian ulamak berkata, hendaklah kamu bercakap dengan lembut, mengandungi perasaan belas kasihan, manarik hati mereka, sesuai dengan kehendak dan kecenderungan mereka sedaya mampu kamu, lebih-lebih lagi ketika mereka telah tua.

Aku suka menarik perhatian kamu kepada sabda Nabi s.a.w. yang cukup padat dan penuh hikmah (maksudnya): “Keredhaan Tuhan terletak pada keredhaan ibu bapa, dan kemurkaan Tuhan terletak pada kemurkaan ibu bapa.” Dan sabdanya (bermaksud): “Celakalah dan kecewalah!” Mereka bertanya, “Siapakah yang celaka itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Orang yang sempat bersama ibu bapa atau salah seorang daripada keduanya ketika tua, kemudian dia tidak tidak masuk syurga.” Ketahuilah bahawa datuk nenek kamu adalah akar bagi pokok keluarga, ayah dan ibu kamu adalah batangnya dan kamu adalah daun-daun, bunga-bunga dan buah-buahnya. Kalaulah tidak adanya mereka, tidak adalah kamu.

3. Kewajipan kamu terhadap tanahair

Sesungguhnya tanahair kamu sangat berhajat kepada tenaga kamu yang ikhlas untuk bangkit, lebih-lebih lagi selepas apa yang telah menimpanya selama ini. Ia telah lama diperas, dizalimi dan dirosakkan. Warganya, potensinya, kekayaannya hampir musnah kesemuanya. Maka hendaklah kamu tolong menolong dengan semua pihak, bersatu padu dengan semua golongan, bekerjasama dengan semua pertubuhan untuk membina tanahair kamu. Ruang dan peluang untuk bekerjasama amat luas demi kebaikan tanahair kita. Kita berkerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita menerima keuzuran dalam perkara yang kita tidak sepakati.

Hendaklah kamu gariskan matlamat kamu dengan jelas dan tepat agat tenaga kamu tidak terbuang sia-sia, kamu tidak keliru antara hadaf dengan wasilah, tidak memperbesarkan perkara kecil dan memperkecilkan perkara yang besar. Pelajarilah fiqh aulawiyyat dan beransur-ansurlah menyusun langkah. Dengan jelasnya matlamat dalam fikiran kamu, akan teranglah jalan kamu, tenaga dan kesukaran jakan kamu dapat diminimumkan, dan matlamat akan tercapai dengan lebih cepat. Utamakan aspek beramal daripada berteori supaya manusia dapat melihat daripada kamu amal yang hebat, bukan semata-mata cakap. Keadaan seorang lelaki dalam seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki.

Hendaklah kamu beramal bersungguh-sungguh untuk mencari alternative yang lebih baik yang dapat membantu kamu memanfaatkan waktu kamu. Berhati-hati dengan masa lapang. Sesungguhnya masa lapang itu musuh kamu yang paling ketat. Masa lapanglah yang mendorong pemuda terjerumus ke lembah kesesatan dan keruntuhan akhlak. Kamu juga perlu mengikhlaskan niat, menggunakan semua kebolehan serta bakat dan manfaatkan setiap detik waktu. Itulah rahsia kejayaan dengan izin Allah. Hendaklah kamu menggabungkan diri dengan pusat-pusat aktiviti pemuda, kesatuan sukan, badan kerajaan, majlis tempatan, pertubuhan sukarela, pertubuhan social, badan kebajikan dan sebagainya. Bangunkan, kembangkan, susun program keilmuan dan kemahiran yang berguna. Ikut serta dalam pelbagai kegiatan amal sehingga mereka sedar akan nilai kamu dan risalah kamu dalam kehidupan serta sumbangan kamu yang berguna kepada tanahair kamu.

Hendaklah kamu mengambil berat tentang masyarakat kamu dan permasalahannya dan memainkan peranan yang positif dalam membantunya. Aktifkan minda kamu mencari penyelesaian masalah masyarakat. Hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan mereka, “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia. Digemarkan mereka kepada kebaikan dan digemarkan kebaikan kepada mereka. Mereka akan mendapat keamanan pada hari manusia dalam ketakutan (Hari Qiamat).”


4. Kewajipan terhadap umat

Hendaklah kamu mengambil berat tentang umat kamu dan isu-isunya. Serapkan dalam diri kamu dan berusaha menolongnya. Jangan kamu menyisihkan diri dari permasalahannya kerana siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka. Kamu menjauhkan diri dari permasalahan umat kamu merupakan permulaan kepada perpecahan dan pertelingkahan. Dan itu akan membawa kepada kerugian serta menunjukkan kamu tidak berintima’ kepada umat kamu, umat Arab dan umat Islam.

Putera puteriku yang dikasihi,

Sesungguhnya Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah telah menggariskan di dalam risalahnya “Ilasy-Syabab” rukun-rukun kejayaan. Dia berkata: “Sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila keimanan kepadanya kuat, keikhlasan yang sempurna dalam merealisasikannya, semangat (hamasah) yang membuak-buak dalam memikulnya, serta wujud kesediaan untuk berkorban dan beramal demi menegakkannya.” Dari kata-kata ini kita dapati rukun kejayaan itu empat perkara: iman, ikhlas, hamasah dan amal. Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruh dan aqidah (iman dan ikhlas) di samping aspek amal dan pelaksaan (hamasah dan amal). Ini merupakan gabungan yang sungguh cantik, semangat (hamasah) pemuda, pengarahan yang baik, kemantapan fahaman, mendahulukan aspek aqidah daripada yang lain.

Di tempat lain beliau berkata: “Dan setiap orang yang beramal dengan benar dari kalangan kamu akan mendapati di medan Islam apa yang selari dengan kehendaknya dan memenuhi aktivismanya jika dia terdiri daripada orang yang benar.” Tabiat pemuda adalah hamasah. Jika tidak dikekang mungkin akan terlajak. Lantaran itu Imam al-Banna menasihatkan: “Kekanglah runtunan emosi dengan pandangan akal. Sinarilah pandangan akal dengan nyalaan emosi.” Maka di sini Imam al-Banna mengekang dan mengawal semangat serta menghalakannya ke jalan yang betul dan lurus, jalan iman, ikhlas dan benar.

Maka berpegang teguhlah dengan empat rukun ini. Realisasikan di dalam diri kamu dan serulah orang lain daripada kamu. Beramallah dengannya dan tukarkan ia menjadi reality yang bergerak bersama kamu di setiap medan kehidupan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Imam al-Banna juga telah menyebut di dalam risalahnya yang ditujukan kepada kamu thawabit (perkara yang tetap) jamaah yang terpenting, iaitu: rabbaniah, tadarruj, tabiah, syumuliah. Maka jadikan thawabit ini sentiasa berada di hadapan mata kamu. Berpeganglah dengannya dan beramallah mengikut tuntannya. Dengan itu akan menjamin keselamatan jalan, kebenaran hadaf dan terlaksana natijah yang paling baik dengan izin Allah.

Rabbaniah bermaksud: menuju hadaf yang diletakkan Allah untuk kita, bukan hadaf yang kita letakkan untuk diri kita. Dan kita akan sampai dengan izin Allah dan pertolonganNya. Dan Allah enggan kecuali Dia akan sempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”

Tadarruj dan tarbiah bermaksud: “Kita akan didik diri kita semoga kita menjadi individu muslim, kita akan didik rumah kita supaya menjadi rumah muslim, kita akan didik bangsa kita sehingga menjadi bangsa muslim di kalangan bangsa-bangsa yang muslim, dan kita akan tetap teruskan langkah kita sehingga sempurna semua pusingan.”

Syumul bermaksud: “Ikhwan beriman bahawa Islam itu aqidah dan ibadah, tanahair dan bangsa, akhlak dan kebendaan, ilmu dan undang-undang, toleransi dan kekuatan. Mereka yakin dan berpegang teguh bahawa Islam adalah system yang lengkap dan merealisasikannya pada diri dalam semua aspek kehidupan, menyusun urusan dunia sebagaimana menyusun urusan akhirat. Mereka beriktiqad Islam adalah system amali dan ruhi secara seiring. Maka Isalam di sisi Ikhwan adalah din dan daulah, mushaf dan saif (pedang).

sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Al-Kahf:13

Dan akhirnya,

Kamu adalah harapan dengan izin Allah. Kami mengetahui bahawa pada kamu ada kebaikan yang besar. Maka rasailah sentiasa wahai pemuda reality yang dialami umat kamu, reality yang cukup masam, pahit, menyedihkan dan tidak ada seorangpun dari kalangan kita yang redha dengannya. Rasailah bahawa di tangan kamu dan dengan usaha kamu akan merobah keadaan umat kamu dan memenangkannya jika terlaksana pada diri kamu dan reality kamu syarat-syarat kemenangan,

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Muhammad:7

Maka hendaklah kamu mengelokkan iman kamu dengan Allah dan ikuti sunnah Rasulullah s.a.w., amal berterusan, tajarrud sepenuhnya, curah tenaga tanpa henti, berkorban apa saja, jujur dengan Allah, dengan diri dan dengan manusia, gunakan tenaga untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana diri kita ini jika tidak digunakan untuk perkara yang benar, dia akan sibukkan kita dengan perkara yang batil. Apabila terlaksana semua ini, akan terlaksanalah kemanangan sebagaimana yang telah dicapai sebelum ini, dan ia tidak sukar bagi Allah. 

“dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;” Al-Hajj:40

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluargannya dan sahabat-sahabatnya. 

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.

Muktamar Tullab Ikhwan Muslimin pertama selepas revolusi,
Cairo, Sabtu 26 Syawal 1432H bersamaan 24 September 2011M
Sumber:


Salam Juang,
Nor Latifah Bt Othman

Thursday 8 December 2011

GOLONGAN BAHAGIA DAN HINA DALAM MENUNTUT ILMU


  Dari Sebelah Kiri : 1. Syeikh Allamah Al-Faqih Al-Usuli Syed Syaltut 2 . Syeikh Allamah Ahmad Al-Hajain 3 . Syeikh Almmah Prof.Dr. Nuruddin Ali Jummah 4 . Syeikh Allamah Al-Mutakallim Dr.Jamal Faruq Ad-Daqaq 5 . Syeikh Allamah Al-Muhaddis Dr.Yusri jabar...


Nasihat Muaz bin Jabal berhubung fadhilat mengajar ilmu, katanya, "Ilmu adalah teman seiring ketika keseorangan. Orang memiliki ilmu laksana mempunyai guru sebagai pembimbing dan teman, meskipun berseorangan. Dengan ilmu membolehkan manusia mengEsakan dan mentaati Allah dengan penuh kepatuhan dan kefahaman. Ilmu juga penunjuk arah dalam menegakkan agama Allah Taala, ia jadi penghibur ketika menderita dan kesusahan".

Nasihatnya lagi, "Allah Taala mengangkat orang tertentu (daripada kalangan berilmu) menjadi pemimpin, orang ramai boleh menuruti jejaknya". 

Berdasarkan nasihat Muaz itu menunjukkan seorang pemimpin mestilah mereka yang berilmu, khususnya ilmu mentauhid Allah Taala. Nasihat Muaz seterusnya, "Seorang manusia (berlimu) akan sampai ke peringkat orang yang baik-baik dan ke darjat yang tinggi".

Nasihatnya lagi, "Dengan memiliki ilmu menjadi sebab seseorang itu rela bertaraf hamba di sisi Allah Taala". Dengan bertaraf hamba, lahirlah ketaatan yang mutlak kepada Allah Taala. Tidak salah mengaku sebagai rakyat kepada sesuatu negara, tetapi ia mesti didahului dengan ikrar penghambaan kepada Allah Taala. Untuk menjadikan diri sebagai hamba, mereka wajib mengenali siapa Allah Taala dan siapa dirinya. Untuk itu mereka mesti mengaji daripada orang alim yang mursyid.

Seorang yang berilmu berkewajiban mengajar orang lain pula, agar orang itu mengerti dirinya sebagai hamba Allah Taala. Jika kuli sanggup patuh dengan arahan majikannya, maka sebagai hamba Allah Taala semestinya lebih bersedia melaksanakan segala suruhanNya, tanpa mengira waktu siang atau malam dengan wang ringgit emas permata serta jiwa dan nyawa. Nabi Muhammad S.A.W itu bukan saja sebagai Rasulullah, tetapi Allah Taala menyebut sebagai 'hamba Allah', seperti yang ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud, "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan 'hambaNya' pada suatu malam dari Masjid Al Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis)". (Al Isra':1) Dalam ayat ini Allah Taala telah memperjalankan hambaNya, tidak pula menggunakan perkataaan NabiNya atau RasulNya, sedangkan bagi manusia sebagai umatnya lebih selesa menggunakan perkataan Nabi atau RasulNya berbanding dengan hambaNya. Sesungguhnya Allah Taala mengasihi seseorang atas kadar sifat kehambaannya. Semakin seseorang memperlihatkan kesetiaannya kepada Allah, semakin terserlah sifat ubudiyahnya.

Nabi Muhammad S.A.W adalah kemuncak hamba Tuhan di muka dunia. Justeru, sifat kehambaan itu menyebabkan Allah Taala menyebut memperjalankan 'hambaNya' di suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebutan hamba itu lebih tepat di sisi Tuhan Yang Esa. Sebab itu, nama-nama yang paling baik untuk manusia ialah yang dimulai dengan 'Abdu' (hamba) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa nama yang dimulai dengan Abdu hanya ada pada orang Islam, tidak wujud di kalangan penganut agama lain. Kesan daripada ilmu yang dipelajari, masyarakat Islam sangat berbangga dengan taraf hamba Allah Taala. Justeru, AsmauLlah Al Husna yang 99 itu boleh dirangkaikan dengan 'Abdu' untuk dijadikan nama bagi anak anak keluarga mereka. Dengan sebab ilmu manusia sanggup menjadi hamba Allah Taala (Wabihi Yu'bad). Jika semakin tinggi seseorang itu mengaji tetapi tidak bersedia menjadi hamba Tuhan bahkan menjadi hamba pihak lain seperti hamba harta kekayaan, hamba nafsu dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan ilmu yang dikehendaki Allah Taala. 

Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Jika orang alim yang bersikap demikian ia digelar sebagai 'ulama us Su' (ulama yang rosak). Nasihat Muaz bin Jabal lagi, "Dengan ilmu itu manusia sanggup meng-Esakan Allah Taala (Wabihi Yuwahhadu)". Yang dimaksudkan dengan tuhan ialah sesuatu yang disayangi hingga dipuja dan ditaati oleh manusia. Mereka sanggup membuang masa untuk berbalah dan berselisih pendapat mengenainya. Persoalan itu mengikut istilah ialah 'Ma'bud' (perhambaan) sama ada dengan sedar atau sebaliknya mereka telah menjadikannya sebagai tuhan. Dengan pengertian itu maka banyak perkara yang dijadikan tuhan oleh para pemujanya, tetapi semuanya ditolak oleh Islam kecuali hanya Allah Taala sahaja Tuhan Yang Maha Esa yang dapat memberi hidayah dan menyelamatkan manusia di akhirat. Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu itu manusia menjadi warak". Maksud warak ialah sanggup meninggalkan perkara yang Tuhan tidak setuju walaupun ia hanya makruh, padahal melakukan yang makruh tidaklah berdosa. Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan mukmin, sebagaimana mereka wajib melaksanakan perintah Allah Taala yang lain. 

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu juga manusia berusaha menghubung silaturahim". Kejayaan besar Nabi S.A.W ialah menjalin silaturrahim di kalangan umat yang sedang berkerisis berdasarkan ajaran Al Quran. Apabila sesama umat Islam berjabat salam, serentak itu lidah mereka mengucap selawat atas Nabi s.a.w. Sebagai mengenang jasa Nabi S.A.W telah menjalinkan silaturahim antara puak Arab yang berpecah. 

Nasihatnya lagi, "Ilmu ibarat imam dan amalan adalah makmumnya". Yakni ilmu dan amal tidak boleh dipisah, jika ilmu tidak diamal, maka ilmu menjadi sia-sia. Tazkirah akhir Muaz, "Diilhamkan ilmu agama untuk insan yang bertuah (sa'adah), dihalangNya ilmu kepada golongan yang celaka (asqiya')". 

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat 

Salam Juang,
Nor Latifah bt Othman

Wednesday 2 November 2011

Siri 1 Pencerahan Isu Hukuman Hudud Terhadap Non-Muslim Dan Perspektif Jenayah Zina, Minum Arak, Curi, Hirabah (Gangster Atau Samun)


Mukaddimah

Sejak belakangan ini isu berkaitan hudud telah dibangkitkan semula sehingga menimbulkan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan hukum hudud. Semoga perbincangan ringkas terhadap beberapa jenayah yang membabitkan hudud dapat menjadi noktah awal ke arah kefahaman pelaksanaan hukum hudud yang membabitkan non Muslim.



1. ZINA (Bukan Rogol)


• Apabila non Muslim melakukan zina sama ada sesama mereka atau bersama orang Islam, para fuqahak berselisih pandangan dalam menentukan hukuman kepada penzina yang bukan beragama Islam:


• Perzinaan antara lelaki bukan Islam dengan wanita bukan Islam


- Menurut fuqahak hanafiyyah, Shafi‘iyyah dan hanbilah, non Muslim yang berzina sama ada lelaki atau perempuan akan dijatuhkan hukuman Hudud sekiranya mereka adalah Dzimmiyy. Sekiranya mereka adalah Harbiyy, mereka tidak dijatuhkan hukuman hudud (1).


- Menurut fuqahak Malikiyyah, non muslim yang berzina sama ada lelaki atau perempuan sama sekali tidak akan dijatuhkan hukuman hudud (2).


• Perzinaan antara non Islam dengan orang Islam


- Menurut fuqahak Malikiyyah, non Muslim yang berzina tidak akan dijatuhkan hukuman hudud sebaliknya mereka akan dijatuhkan hukuman yang keras berdasarkan kepercayaan agama mereka. Adapun wanita muslimah atau lelaki muslim yang rela berzina dengan non Muslim, orang Islam ini akan dijatuhkan hukuman

hudud.

- Menurut fuqahak Hanafiyyah, Syafi`iyyah dan Hanabilah, non muslim yang berzina dengan orang Islam sama ada lelaki atau  perempuan akan dijatuhkan hukuman hudud sekiranya mereka

adalah Dzimmiyy (3).

• Hukuman zina bagi penzina non Muslim


- Al-Malikiyyah berpandangan bahawa non Muslim yang berzina sama sekali tidak akan dijatuhkan hukuman hudud sebaliknya dikenakan hukuman berdasarkan agama mereka.


- Hanafiyyah berpandangan bahawa non Muslim yang berzina sama  sekali tidak akan dijatuhkan hukuman rejam sebaliknya hanya akan dijatuhkan hukuman sebat seratus kali sama ada mereka telah berkahwin ataupun masih bujang.


- Al-Shafi‘iyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa non muslim yang berstatus Dzimmiyy yang berzina adalah sama dengan orang Islam yang berzina dari sudut hukuman sebat bagi yang tidak pernah berkahwin dan hukuman rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin.(4)


• Pandangan kami :


- Kami berpandang bahawa non Muslim yang berzina sesama mereka tidak dijatuhkan hukuman Hudud dengan berpegang pada pandangan Malikiyyah bagi meraikan situasi non Muslim yang baru ingin berjinak-jinak dengan undang-undang Islam. Walau bagaimanapun demi menjaga maruah dan moral, non Muslim yang berzina perlu dijatuhkan hukuman yang difikirkan sesuai oleh agama dan adat resam mereka.


- Sekiranya non Muslim sama ada lelaki atau perempuan berzina dengan orang Islam, mereka perlu dijatuhkan hukuman hudud dengan berpegang pada pandangan Hanafiyyah. Ini kerana membabitkan orang Islam dan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan nasab dan pembunuhan bayi yang berstatus tidak sah. Kami tidak cenderung kepada pandangan Shafi‘iyyah dan Hanabilah kerana non Muslim di Malaysia masih terlalu asing dengan hukuman Hudud apatah lagi dengan pelaksanaan hukuman rejam sampai mati kepada penzina non Muslim yang telah berkahwin. Kami juga tidak cenderung kepada pandangan Malikiyyah kerana berkemungkinan hukuman yang bakal diputuskan oleh agama dan adat resam non Muslim tidak menghalangnya untuk berzina lagi dengan orang Islam.



2. ARAK 



• Menurut pandangan sebahagian Hanafiyyah, non Muslim yang minum arak tidak dikenakan hukuman hudud (5). Malikiyyah, Shafi‘iyyah dan Hanabilah turut menyatakan bahawa non Muslim
yang minum arak tidak dijatuhkan hukuman hudud.(6)

• Pandangan kami:


- Non Muslim tidak dikenakan hukuman hudud apabila mereka minum arak.


- Non Muslim akan dikenakan hukuman Ta‘zir sekiranya tindakan mereka meminum arak mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Oleh itu, non Muslim yang didapati memandu dalam keadaan mabuk mesti diambil tindakan Ta‘zir.


- Non Muslim akan dikenakan hukuman Ta‘zir apabila mereka mengajak orang Islam minum arak.



3. Hirabah (Gangster atau Rompakan)


• Hanafiyyah dan Shafi‘iyyah menyatakan bahawa non Muslim yang berstatus Dzimmiyy apabila terlibat dalam jenayah rompakan akan dijatuhkan hukuman Hirabah (7). Malikiyyah juga secara zahirnya turut

berpandangan dengan pandangan yang sama apabila mereka tidak pula mensyaratkan bahawa penjenayah Hirabah hendaklah seorang muslim.

• Pandangan kami


- Non Muslim yang terlibat dalam jenayah Hirabah hendaklah dijatuhkan hukuman Hirabah (bergantung kepada jenis jenayah Hirabah yang dilakukan) agar keamanan negara dapat dicapai. Sekiranya non Muslim yang terbabit diberikan peluang undangundang sivil, berkemungkinan hukuman sivil tidak dapat menggerunkan penjenayah lalu mengakibatkan rentetan jenayah Hirabah yang terus mengganggu keamanan penduduk muslim dan non muslim.


- Ini bermakna sekiranya kumpulan penjenayah Hirabah terdiri daripada gabungan non Muslim dan orang Islam; dan mereka telah merompak atau membunuh atau kedua-duanya sekali, maka kesemua mereka hendaklah dijatuhkan hukuman hudud tanpa berkecuali.


- Sekiranya penjenayah Hirabah hanya menakut-nakutkan orang ramai tanpa ada sebarang jenayah samun atau bunuh atau keduaduanya sekali, maka mereka akan dijatuhkan hukuman Ta‘zir.



4. MENCURI


• Hanafiyyah, Malikiyyah, Shafi‘iyyah dan Hanabilah menyatakan bahawa non Muslim yang berstatus Dzimmiyy apabila mencuri akan dijatuhkan hukuman hudud (8).


• Pandangan kami :


- Berdasarkan pembacaan kami, kami tidak menemui sebarang pandangan fuqahak yang menyatakan bahawa non Muslim tidak dikenaan hukuman potong tangan apabila mencuri. Maka yang diwajibkan oleh Allah adalah pencuri daripada kalangan non Muslim hendaklah dipotong tangan.


- Walau bagaimanapun, kami merasakan non Muslim secara umumnya tidak akan bersetuju dengan kewajipan ini disebabkan mereka menganggap pemotongan tangan adalah tindakan yang tidak bersifat ketamadunan yang akan memburukkan lagi pandangan mereka terhadap Islam.


- Maka atas dasar meraikan kaedah ’Akhaff al-Dararayn (Kemudharatan yang paling ringan) kami mencadangkan agar dilaksanakan hukuman seperti berikut:


o Apabila jenayah curi berlaku sesama non Muslim, maka mereka diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan sistem perundangan Islam atau sivil


o Apabila pencuri adalah non Muslim manakala harta yang dicuri adalah milik orang Islam, maka non Muslim tersebuthendaklah dibicarakan berasaskan undang-undang Jenayah Islam yang boleh membawa kepada hukuman potong tangan.


- Cadangan hukuman ini dijangkakan akan membawa kepada keamanan harta benda milik orang Islam. Kami menjangkakan sistem hukuman sivil yang tidak dapat mengurangkan kadar kecurian antara sesama non Muslim akan membuka mata non Muslim sendiri untuk memilih undang-undang jenayah Islam.



وصلى الله على سيدنا ومولانا محمد
وعلى آله وصحبه وبارك وسلم
والحمد لله رب العالمين   



Disediakan oleh :

Felo MANHAL PMRAM
1. Mohamad Hanif bin Haron
2. Hairul Nizam bin Mat Hussin
3. Ahmad Hakim bin Azizan
4. Moh Shafiq bin Sahimi

Bersama BPAP :
1. Ahmad Zamzami bin Che Daud
_______________________________________

Rujukan : 

(1) Lihat Hashiyah al-Dusuqi beserta al-Sharh al-Kabir 4/313 dan Hashiyah al-‘Adawi beserta Kifayat al-Talib al-Rabbani 4/74.
(2)Lihat Sharh Fath al-Qadir 5/235, Hashiyah al-Bayjuri 2/338.

(3) Lihat Sharh Fath al-Qadir 5/226 dan Radd al-Mukhtar 6/5, 6/22.


(4) Fath  al-Rahman m/s 893-894 dan Hashiyah al-Bayjuri 2/338.

(5) Lihat Radd al-Mukhtar 6/55


(6) Hashiyah al-Khurashi 8/342, Hashiyah al-Dusuki 4/353, Fath al-Rahman m/s 910, Hashiyah al-Bayjuri   2/349, Hashiyah al-Rawd al-Murbi‘ 7/341.



(7) Lihat Radd al-Mukhtar 6/184, Fath al-Rahman m/s 904-905, Hashiyah al-Bayjuri 2/361-362

(8) Radd al-Mukhtar 6/137, Hasyiyah al-Dusuqi 4/332, Hasyiyah al-Baijuri 2/355

Monday 17 October 2011

MAJLIS KUTUB SITTAH K-3 & KONVO PMRAM



Cahaya ilmu kembali bersinar di al-azhar dengan kedatangan ulama-ulama dari dalam dan luar Mesir. Para pencinta ilmu di kalangan misriyyun dan wafidun sudah mula meramaikan riyadul jannah di al-azhar. Beruntunglah PELAJAR MALAYSIA yang sudah terdetik hatinya untuk bersama dengan pewaris Anbiya, moga-moga ruang kosong yang masih ada sama-sama kita rebut.

"Allahumma jam'ana haza jam'an marhuman.. wa tafarraqana min ba'dihi tararruqan ma'suman.. Allahumma jam'ana ma'an nabiyyin was siddiqin was syuhada' was solehin wal ulama' al-'amilin wahasuna ulaaaa ika rafiqan.. ya Arhamarrahimin... ameeeen"

"nahnu (azhariyyun wal azhariyyat) min abna'il ulama' li iqamati nahdatul ummah fi malizi 'ala wasaiil al-tarbiah wal ilmiah hatta takuna khilafatan 'ala minhajin nubuwwah" 


p/s: Manfaatkan masa kita dengan sebaik-baiknya untuk mencari ilmu,moga2 permusafiran kita bukan perjalanan yang sia-sia di sini. Selamat Menyertai Kutub Sittah kali ke-3!


Salam Juang,
Nor Latifah Bt Othman

Tuesday 2 August 2011

Ramadhan Kareem!

Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang....

Alhamdulillah puji dan syukur ke hadrat Allah, selawat dan salam buat Rasul junjungan, kekasih hati, penghibur jiwa dan pembakar semangat, pembawa risalah khalidah ke akhir zaman, para ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, para tabiin dan tabi' tabiin, mujahid dan mujahidah Islam yang sedang berjihad dan berjuang di medan..moga Islam terus bersinar  di setiap pelusuk dunia..insyaAllah .

Sejarah menjelaskan kepada kita bahawa pada bulan Ramadhan, Allah berkenan menurunkan Al Qur'an untuk menjadi petunjuk, penjelas petunjuk dan furqan yang menyingkap tabir kegelapan manusia dan alam ini.

Peristiwa ini di abadikan di dalam Al Qur'an, melalui firman-Nya: "Bulan Ramadhan, iaitu (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al Qur'an (sebagai) petunjuk bagi (sekelian) manusia dan sebagai penjelasan daripada petunjuk itu serta sebagai pembeda (antara yang haq dan yang bathil)....." surah Al Baqarah ayat 185. Oleh itu antara amalan yang digalakkan oleh Rasul Allah untuk dilaksanakan di bulan Ramadhan adalah tadarus Al Qur'an.

Amalan tadarus di bulan Ramadhan bukan hanya membaca ayat-ayat Al Qur'an sahaja, tetapi yang paling penting adalah macam mana Al Qur'an menjadi pedoman, panduan serta standard kehidupan muslimin dalam merekaf menjalani kehidupan sehari-hari. Firman Allah SWT: "Orang-orang yang Kami datangkan kepadanya Al Kitab (Al Qur'an) mereka membacanya dengan sebenar-benar membaca. Mereka itulah (peribadi-peribadi) yang mengimani Al Qur'an. Maka barangsiapa mengingkarinya (kafir terhadap Al Qur'an), maka mereka itulah yang akan mendapatkan kerugian" surah Al Baqarah ayat 121. Menurut para ulamak, membaca dengan sebenar-benar membaca (haqqa tilawatihi) mengandungi maksud:

1. Membaca secara lisan menggunakan kaedah tajwid yang benar.

2. Menghafaz ayat-ayat Al Qur'an sesuai dengan kemampuannya.

3. Memahami kandungan isi Al Qur'an.

4. Mengamalkan isi dan kandungan Al Qur'an dalam kehidupan sehari-hari.

Ibnu Mas'ud ra berkata yang bermaksud: "Kami dahulu belajar membaca Al Qur'an tidak lebih dari 10 ayat dalam sehari. Kami tidak menambahkan bacaan ayat-ayat itu sebelum kami memahaminya sertamengamalkannya". Membaca Al Qur'an sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Al Baqarah ayat 121 di atas, mengandungi maksud yang sangat jelas iaitu bahawa, Al Qur'an bukan sekedar bahan bacaan yang di dalamnya ada cerita Nabi-nabi dan Rasul, tetapi iaf mengandungi nilai-nilai kehidupan yang universal, manusiawi serta menjamin akan adanya kehidupan yang bahagia baik di dunia mahupun di akhirat. Sabda Rasul Allah: "Aku tinggalkan dua perkara, apabila kamu sekelian berpegang teguh kepadanya tak akan mungkin tersesat untuk selama-lamanya, yaitu al Kitab (Al Qur'an) dan As Sunnah Rasul-Nya".

Bagi seorang muslim, Al Qur'an merupakan panduan tentang konsep kehidupan yang hakiki, nilai-nilai akhlaq yang universal, panduan untuk hidup secara vertikal terhadap Tuhannya serta juga panduan kehidupan horizontal sesama manusia serta alam semesta. Hubungan-hubungan kejiranan, kemasyarakatan, ketatanegaraan, sosio budaya, kemanusiaan semesta diambil serta di pandu menggunakan kayu ukur Al Qur'an. Al Qur'an menjadi sumber ilmu pengetahuan, serta sumber pembuatan undang-undang dalam kehidupan berbangsa dan bernegarasehingga, nilai-nilai serta peraturan-peraturan yang dihasilkannya sentiasa bersesuaian dengan kehendak Allah sebagai pencipta manusia dan alam semesta.


P/s: Mari kita sama-sama merebut pahala sebanyak mungkin, mengislah diri, merawat jiwa dan menyuburkan sifat2 mahmudah di dalam diri dengan kehadirannya.Moga Allah sentiasa menguatkan hati dan jiwa kita semua untuk terus istiqamah di jalanNya.

"Selamat Menjalani Ibadah Puasa"
Teruslah berGERAK, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.

Teruslah berLARI, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.

Teruslah berJALAN, hingga keletihan itu letih bersamamu.
...
Teruslah berTAHAN, hingga kefuturan (putus asa) itu futur menyertaimu.

Tetaplah berJAGA, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.
 اللهم إنا نسألك العزيمة على الرشد
Salam Ramadhan,
Nor Latifah Othman
Mansourah.Mesir

FEEDJIT Live Traffic Feed