Dari Sebelah Kiri : 1.
Syeikh Allamah Al-Faqih Al-Usuli Syed Syaltut 2 . Syeikh Allamah Ahmad
Al-Hajain 3 . Syeikh Almmah Prof.Dr. Nuruddin Ali Jummah 4 . Syeikh
Allamah Al-Mutakallim Dr.Jamal Faruq Ad-Daqaq 5 . Syeikh Allamah
Al-Muhaddis Dr.Yusri jabar...
Nasihat Muaz bin Jabal berhubung fadhilat mengajar ilmu, katanya, "Ilmu adalah teman seiring ketika keseorangan. Orang memiliki ilmu laksana mempunyai guru sebagai pembimbing dan teman, meskipun berseorangan. Dengan ilmu membolehkan manusia mengEsakan dan mentaati Allah dengan penuh kepatuhan dan kefahaman. Ilmu juga penunjuk arah dalam menegakkan agama Allah Taala, ia jadi penghibur ketika menderita dan kesusahan".
Nasihatnya lagi, "Allah Taala mengangkat orang tertentu (daripada kalangan berilmu) menjadi pemimpin, orang ramai boleh menuruti jejaknya".
Berdasarkan nasihat Muaz itu menunjukkan seorang pemimpin mestilah mereka yang berilmu, khususnya ilmu mentauhid Allah Taala. Nasihat Muaz seterusnya, "Seorang manusia (berlimu) akan sampai ke peringkat orang yang baik-baik dan ke darjat yang tinggi".
Nasihatnya lagi, "Dengan memiliki ilmu menjadi sebab seseorang itu rela bertaraf hamba di sisi Allah Taala". Dengan bertaraf hamba, lahirlah ketaatan yang mutlak kepada Allah Taala. Tidak salah mengaku sebagai rakyat kepada sesuatu negara, tetapi ia mesti didahului dengan ikrar penghambaan kepada Allah Taala. Untuk menjadikan diri sebagai hamba, mereka wajib mengenali siapa Allah Taala dan siapa dirinya. Untuk itu mereka mesti mengaji daripada orang alim yang mursyid.
Seorang yang berilmu berkewajiban mengajar orang lain pula, agar orang itu mengerti dirinya sebagai hamba Allah Taala. Jika kuli sanggup patuh dengan arahan majikannya, maka sebagai hamba Allah Taala semestinya lebih bersedia melaksanakan segala suruhanNya, tanpa mengira waktu siang atau malam dengan wang ringgit emas permata serta jiwa dan nyawa.
Nabi Muhammad S.A.W itu bukan saja sebagai Rasulullah, tetapi Allah Taala menyebut sebagai 'hamba Allah', seperti yang ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud, "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan 'hambaNya' pada suatu malam dari Masjid Al Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis)". (Al Isra':1)
Dalam ayat ini Allah Taala telah memperjalankan hambaNya, tidak pula menggunakan perkataaan NabiNya atau RasulNya, sedangkan bagi manusia sebagai umatnya lebih selesa menggunakan perkataan Nabi atau RasulNya berbanding dengan hambaNya. Sesungguhnya Allah Taala mengasihi seseorang atas kadar sifat kehambaannya. Semakin seseorang memperlihatkan kesetiaannya kepada Allah, semakin terserlah sifat ubudiyahnya.
Nabi Muhammad S.A.W adalah kemuncak hamba Tuhan di muka dunia.
Justeru, sifat kehambaan itu menyebabkan Allah Taala menyebut memperjalankan 'hambaNya' di suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebutan hamba itu lebih tepat di sisi Tuhan Yang Esa. Sebab itu, nama-nama yang paling baik untuk manusia ialah yang dimulai dengan 'Abdu' (hamba) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa nama yang dimulai dengan Abdu hanya ada pada orang Islam, tidak wujud di kalangan penganut agama lain.
Kesan daripada ilmu yang dipelajari, masyarakat Islam sangat berbangga dengan taraf hamba Allah Taala. Justeru, AsmauLlah Al Husna yang 99 itu boleh dirangkaikan dengan 'Abdu' untuk dijadikan nama bagi anak anak keluarga mereka. Dengan sebab ilmu manusia sanggup menjadi hamba Allah Taala (Wabihi Yu'bad). Jika semakin tinggi seseorang itu mengaji tetapi tidak bersedia menjadi hamba Tuhan bahkan menjadi hamba pihak lain seperti hamba harta kekayaan, hamba nafsu dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan ilmu yang dikehendaki Allah Taala.
Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Jika orang alim yang bersikap demikian ia digelar sebagai 'ulama us Su' (ulama yang rosak).
Nasihat Muaz bin Jabal lagi, "Dengan ilmu itu manusia sanggup meng-Esakan Allah Taala (Wabihi Yuwahhadu)". Yang dimaksudkan dengan tuhan ialah sesuatu yang disayangi hingga dipuja dan ditaati oleh manusia. Mereka sanggup membuang masa untuk berbalah dan berselisih pendapat mengenainya. Persoalan itu mengikut istilah ialah 'Ma'bud' (perhambaan) sama ada dengan sedar atau sebaliknya mereka telah menjadikannya sebagai tuhan. Dengan pengertian itu maka banyak perkara yang dijadikan tuhan oleh para pemujanya, tetapi semuanya ditolak oleh Islam kecuali hanya Allah Taala sahaja Tuhan Yang Maha Esa yang dapat memberi hidayah dan menyelamatkan manusia di akhirat.
Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu itu manusia menjadi warak". Maksud warak ialah sanggup meninggalkan perkara yang Tuhan tidak setuju walaupun ia hanya makruh, padahal melakukan yang makruh tidaklah berdosa. Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan mukmin, sebagaimana mereka wajib melaksanakan perintah Allah Taala yang lain.
Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu juga manusia berusaha menghubung silaturahim". Kejayaan besar Nabi S.A.W ialah menjalin silaturrahim di kalangan umat yang sedang berkerisis berdasarkan ajaran Al Quran. Apabila sesama umat Islam berjabat salam, serentak itu lidah mereka mengucap selawat atas Nabi s.a.w. Sebagai mengenang jasa Nabi S.A.W telah menjalinkan silaturahim antara puak Arab yang berpecah.
Nasihatnya lagi, "Ilmu ibarat imam dan amalan adalah makmumnya". Yakni ilmu dan amal tidak boleh dipisah, jika ilmu tidak diamal, maka ilmu menjadi sia-sia.
Tazkirah akhir Muaz, "Diilhamkan ilmu agama untuk insan yang bertuah (sa'adah), dihalangNya ilmu kepada golongan yang celaka (asqiya')".
Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Salam Juang,
Nor Latifah bt Othman