Friday 29 May 2009

QIRAAT (SIRI 1) : SUATU PENGENALAN



Muqaddimah
Firman Allah S.W.T. :

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ * فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ * لاَ يَمَسُّهُ إِلاَّ الْمُطَهَّرُونَ * تَنزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ
(الواقعة: 77-80).


Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.A. bahawasanya Nabi S.A.W. bersabda :

أقرأني جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته، فلم أزل أستزيده ويزيدني حتى انتهى إلى سبعة احرف ( رواه البخاري )

Sesungguhnya Allah S.W.T. telah mengutuskan sebaik-baik manusia kepada sebaik-baik umat. Lalu menurunkan sebaik-baik kalam sebagai panduan kepada sebaik-baik agama yang diredhoi. Sebaik-baik manusia itu adalah Nabi Muhammad S.A.W. Sebaik-baik umat adalah umat Baginda ini. Sebaik-baik kalam adalah al-Quran dan sebaik-baik agama adalah agama Islam.

Allah S.W.T. telah menurunkan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar ke atas Nabi Muhammad S.A.W. yang telah dijamin pemeliharaan oleh Allah S.W.T. selama bersilih ganti malam dan siang dari sebarang perubahan dan pembaharuan. Yang terhimpun di dalamnya semua perkara yang diperlukan dan membenarkan kitab-kitab Rasul yang terdahulu.

Di samping itu juga Tuhan telah memberi taufiq kepada orang-orang yang dipilihNya daripada ahli bijak pandai agar mengambil berat tentang ilmu-ilmu al-Quran. Dengan itu mereka telah mengkaji dan mengumpul setiap ilmu mengenai al-Quran dan dibukukan sebagai suatu sumbangan untuk meninggikan Kalam Allah S.W.T. ini. Salah satu ilmu yang lahir daripada al-Quran adalah ilmu al-Qiraat .

Prinsip Ilmu Al-Qiraat

1) Takrif :

Suatu ilmu yang menangani kalimah-kalimah al-Quran daripada segi perbezaan sebutan dan bacaan serta penisbahan setiap daripadanya kepada pembawa atau periwayatnya.

2) Tajuk perbincangan :

Kalimah-kalimah al-Quran dari sudut keadaan dalam menyebutnya. Perkara yang dibincangkan adalah berkaitan hukum - hukum asas seperti Mad dan Qasr, Idgham dan Izhar dan berkaitan perbezaan dari sudut baris dan huruf seperti ( يخدعون )( يخادعون)


3) Faedah :

1. Memelihara kesucian al-Quran.
2. Mengetahui apa yang dibaca oleh setiap Imam Qurra' serta dapat membezakan manhaj
setiap imam.
3. Dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan “ Sab`atu Ahruf ”
4. Mengetahui keistimewaan, kemuliaan serta keagungan al-Quran.

4) Kelebihannya :


Diantara semulia-mulia ilmu kerana kaitannya dengan kalam Allah.

Daripada Sayyidina Uthman bin Affan R.A. sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
خيركم من تعلم القرءان وعلمه
Maksudnya :
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." ( Hadis riwayat Bukhori, Abu Daud dan Tirmizi )

5) Namanya :


Ilmu al-Qiraat (القراءات ) lafaz jamak kepada ( القراءة ) bermakna wajah-wajah yang dibaca.

6) Sandarannya :
Daripada Sunnah dan Ijma`. Juga dikatakan daripada riwayat yang Sohih dan Mutawatir daripada Imam-Imam Qiraat daripada Rasulullah S.A.W.

7) Hukum Syarak :

Menjadi fardhu ain mempelajarinya jika tidak ada orang yang mampu mempelajarinya dan menjadi fardhu kifayah jika ada orang lain selain kamu yang mampu mempelajarinya.

8) Masalah-masalahnya :

Kaedah-kaedah tertentu seperti setiap dua huruf hamzah yang berada dalam satu kalimah ( ءألد , ءأنذرتهم ) dibaca dengan tashil oleh Hijaziyyun dan lain-lain lagi.

Hubungan Di antara Al-Quran dan Al-Qiraat.


Ulama berselisih pendapat dalam persoalan adakah kedua-duanya merupakan perkara yang sama atau sebaliknya.

Imam Badruddin Azzarkashi menyatakan bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat yang berlainan. Ini kerana al-Quran adalah wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah saw sebagai mukjizat dan keterangan. Sebaliknya al-Qiraat pula adalah kepelbagaian lafaz-lafaz wahyu itu pada huruf dan kaedah pembacaan seperti takhfif dan tashdid. Al-Qiraat juga tidak dapat tidak diambil melalui proses talaqqi dan mushafahah.

Doktor Muhammad Salim Muhaisin pula berpendapat bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat dengan satu makna. Berdasarkan al-Quran adalah kata nama terbitan yang seerti dengan al-Qiraah (bacaan). Al-Qiraat pula jama` kepada al-Qiraah. Maka bagi beliau kedua-duanya adalah mempunyai satu makna.

Walaupun para ulama berbeza pendapat mengenai hal ini, namun kesimpulannya ialah al-Quran adalah wahyu yang diturunkan dan al-Qiraat adalah perbezaan dalam membaca kalimah-kalimah wahyu itu sendiri.

Rukun Al-Qiraat Yang Sohih

1. Mestilah al-Qiraat itu tidak bercanggah dengan bahasa Arab.
2. Mestilah al-Qiraat itu tidak bercanggah dengan salah satu daripada mushaf-mushaf
Uthmani yang enam.
3. Mestilah sanad al-Qiraat itu mutawatir iaitu Rawi yang meriwayatkan al-Qiraat
tersebut satu jamaah yang ramai dimana mustahil mereka itu berpakat dalam
melakukan penipuan.

Pembahagian Al-Qiraat

Para Ulama` Qiraat mempunyai pandangan yang berbeza dalam pembahagian al-Qiraat. Sebagai kesimpulannya bolehlah kita bahagikan al-Qiraat kepada 6 bahagian :

1) Al-Mutawatirah : Iaitu Qiraat yang dinaqalkan dari sekumpulan perawi yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk melakukan pendustaan. Yang dimaksudkan di sini adalah al-Qiraat yang disepakati daripada imam-imam yang tujuh iaitu Imam Nafi`, Imam Ibnu Kathir, Imam Abu Amru, Imam Ibnu Amir, Imam `Asim, Imam Hamzah dan Imam Kisa`ei.

2) Al-Masyhurah : Iaitu Qiraat yang sah sanadnya tetapi tidak sampai peringkat Mutawatir. Begitu juga Qiraat itu berbetulan dengan bahasa arab dan salah satu daripada mushaf-mushaf Uthmani. Yang dimaksudkan di sini adalah al-Qiraat yang disepakati daripada imam-imam yang tiga iaitu Imam Abu Ja`far, Imam Ya`qub dan Imam Khalaf al-Asir

3) Al-Ahaad : Iaitu yang sah sanadnya tetapi tidak menepati bahasa Arab dan salah satu daripada mushaf-mushaf Uthmani serta tidak masyhur dan tidak dibaca di kalangan para Qurra`. Sebagai contoh bacaan yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang mana beliau membaca huruf ( ف ) dengan baris atas pada ayat : ( لقد جاءكم رسول من أنفسكم )

4) As-Syaaz : Iaitu yang tidak sah sanadnya atau tidak menepati salah satu daripada tiga rukun al-Qiraat yang sohih. Contohnya bacaan Imam Hasan al-Basri (إياك يعبد)

5) Al-Maudhu` :
Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam as-Sayuti pada bacaan al-Khazza`i (إنما يخشى الله من عباده العلماء)

6) Al-Mudraj : Iaitu bacaan yang ditambah sebagai tafsiran kepada ayat tersebut. Seperti bacaan Ibnu Abbas ( ليس عليكم جناح أن تبتغوا فضلا من ربكم في مواسم الحج )


Sekitar Perbincangan Sab`atu Ahruf
Dalil mengenai turunnya al-Quran dengan Sab`atu Ahruf ataupun Tujuh Huruf bersandarkan beberapa buah hadis antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawasanya Nabi saw bersabda,

أقرأني جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته، فلم أزل أستزيده ويزيدني حتى انتهى إلى سبعة احرف.
( Hadis riwayat Bukhori )

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Syihab bahawa beliau diberitakan oleh Urwah bin Zubair bahawa Maswara bin Makhramah dan Abdul Rahman bin Abdul Qari mendengar Umar bin Khattab r.a berkata,

سمعت هشام بن حكيم يقرأ سورة الفرقان في حياة رسول الله صلى الله عليه وسلم، فاستمعت لقراءته، فاذا هو يقرأ على حروف كثيرة لم يقرأني رسول الله صلى الله عليه وسلم، فكدت اساوره فى الصلاة فتصبرت حتى سلم، فلببته بردائه فقلت من اقرأك هذه السورة التى سمعتك تقرأ قال اقرأني رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقلت كذبت، فإن رسول الله صلى الله عليه وسلم قد أقرأنيها على غير ما قرأت، فانطلقت به أقود إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقلت سمعت هذا يقرأ سورة الفرقان على حروف لم تقرأنيها، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم لعمر ارسله، فأرسله عمر، فقال لهشام اقرأ يا هشام، فقرأ عليه القراءة التى سمعته يقرأ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم كذلك أنزلت،.ثم قال اقرأ يا عمر فقرأت القرأة التى أقرأني، فقال كذلك أنزلت، ان هذا القرءان أنزل على سبعة أحرف فاقرأوا ما تيسر منه
( Hadis riwayat Bukhori )

Maksud Tujuh Huruf

Tidak ada hadis secara jelas yang menceritakan tentang apakah yang dimaksudkan dengan Sab`atu Ahruf atau Tujuh Huruf. Namun Ulama` samada yang Salaf mahupun yang Khalaf secara sepakat menyatakan bahawa tidak boleh seseorang itu menafsirkan bahawa Tujuh Huruf itu adalah tujuh Qurra’ yang masyhur kerana tujuh Qurra’ yang masyhur ini tidak pernah wujud pun pada zaman Rasulullah S.A.W.

التكليف بما لا يطاق محال
Ibn Hajar al-Asqolani berpendapat tujuh huruf bermaksud tujuh wajah bacaan dan harus membaca mana-mana wajah daripada tujuh wajah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan huruf dengan makna bahasa iaitu tujuh bahasa Arab yang terkenal. Adapun perbahasan makna tujuh huruf dikalangan para ulama’ terbahagi kepada beberapa pendapat, sehingga sampai kepada 40 pendapat antaranya :

1. Cegah, suruh, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujjah
2. Balasan baik dan buruk, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujjah.
3. Tujuh bahasa : Quraisy, Yaman, Jarham, Hairizam, Qurda’ah, Tamim, Thoyy.
4. Tujuh bacaan yang disandarkan kepada Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Ibn Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Ubai bin Ka’ab.

Pendapat yang paling tepat di sisi Jumhur Ulama` ialah pendapat daripada Imam Fakhruddin Ar Razi iaitu :

1) Kepelbagaian pada kata nama sama ada dengan tunggal atau jamak seperti :
{ والذى لأمانتهم و عهدهم راعون }
2) Kepelbagaian pada wajah-wajah I'rab seperti :
{ فتلقى ءادم من ربه كلمت}
3) Kepelbagaian pada tasrif seperti :
{تعلمون} {يعلمون}
4) Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan seperti :
{ فيقتلون ويقتلون}
5) Kepelbagaian dengan menukarkan. Sama ada huruf dengan huruf atau kalimah dengan kalimah seperti :
{وانظر إلى العظام كيف ننشزها } {كالعهن المنفوش }
6) Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan seperti :
{وأعد لهم جنت تجرى تحتها الأنهر }
7) Kepelbagaian lahjah dengan tafkhim dan tarqiq, fathah dan imalah, izhar dan idgham, tashil, ishmam dan sebagainya.

Kitab-Kitab Asas Al-Qiraat

Sebenarnya terdapat begitu banyak kitab yang membicarakan mengenai ilmu al-Qiraat ini. Tetapi yang menjadi sumber utama kepada pengajian ilmu ini adalah seperti berikut :

1. Matan Asy-Syatibi
Matan ini dikarang oleh Imam Al Qasim bin Firruh bin Khalaf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Imam Asy Syatibi.. Berasal dari Andalusia, Sepanyol. Wafat pada tahun 590 hijrah. Beliau menjadikan kitab Tahbir at-Taisir sebagai sumber karangan beliau.

2. Matan Al-Jazari Dan Matan Durrah
Matan ini dikarang oleh Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf atau lebih dikenali sebagai Imam al-Jazari. Dilahirkan pada tahun 751 hijrah dan wafat pada tahun 833 hijrah. Berasal dari Damsyiq. Antara kitab-kitab yang menjadi sumber dalam menulis matan beliau ini ialah kitab Tahbir at-Taisir dan kitab Nasyr al-Asyri.


Qiraat As-Sab’ah Dan Qiraat Al-‘Asyarah


Qiraat as-Sab`ah mahupun Qiraat al-`Asyarah, ianya tetap tidak lari daripada tujuh huruf sebagaimana ia diturunkan. Kesemuanya mutawatir daripada Rasulullah SAW. Ini bermakna, Rasulullah SAW membaca dengan kesemua Qiraat ini. Qiraat as-Sab`ah dikupas dan dijelaskan oleh Imam al-Syatibi. Imam al-Jazari pula mengupas dan menyusunnya dengan menambah tiga lagi Imam sehingga menjadi Qiraat al-`Asyarah.

Kesemua sepuluh Qiraat Imam al-Jazari dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Kubro. Tetapi jika tujuh Qiraat Imam al-Syatibi digabungkan dengan 3 lagi Qiraat Imam al-Jazari maka ia dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Soughro.

Perkembangan Bacaan Qiraat Seluruh Dunia Islam

Perkembangan bacaan Qiraat di seluruh dunia Islam pada hari ini bolehlah disimpulkan sebegini:

• Qiraat Imam Nafi’melalui riwayat Qalun terdapat di Libya dan sebahagian di Tunisia (0.7%). Adapun melalui riwayat Warsy terdapat di Jazair, Maghribi, sebahagian di Tunisia dan sebahagian di Sudan(3%).
• Qiraat Imam Abu ‘Amru terdapat disebahagian wilayah di Sudan (0.3%)
• Qiraat Imam Ibn ‘Amir terdapat di Yaman (1%)
• Dan selain daripada itu, kesemuanya mengamalkan Qiraat Imam ‘Aasim melalui
riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi.(95%)

Bagi bacaan Imam Hamzah dan Imam Kisaie sudah pun pupus dalam ertikata tidak ada lagi masyarakat atau kumpulan yang mengamalkannya. Walaupun begitu kedua-dua bacaan ini masih lagi dipelajari di Institusi yang menawarkan pelajaran ilmu al-Qiraat agar tidak pupus ditelan zaman.

Bibliografi

1. Al-Quran Al-Karim.
2. Artikel Qiraat, oleh Felza Zulhibri bin Abdul Hamid.
3. Buku “ Kajian al-Quran ” oleh Subhi Salih.
4. Kertas Kerja “ Pengenalan Asas Ilmu Qiraat ”, oleh Mohd Saleh Bin Ramli dan Mohd Lafzul Bin Muda.
5. Kitab “ Al-Hadi ” oleh Dr. Muhammad Salim Muhaisin.
6. Kitab “ Al-Qiraat Al-Waridah Fi As-Sunnah ” oleh Dr. Ahmad Isa al-Ma`sarawi.
7. Kitab “ Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran ” oleh Imam Jalaludin Abdul Rahman as-Sayuti.
8. Kitab “ Al-Qiraat As-Syazah Wa Taujihuha Min Lughati Al-Arabi ” oleh Abdul Fatah al-Qadhi.
9. Majalah Suara Kampus Edisi Shoubra, keluaran Muharram 1425H, Mac 2004M.


- Ini adalah usaha penulis untuk berkongsi dgn masyrakat umum agar masyarakat luar dapat memahami bidang ini dengan lebih dekat lagi, sekaligus dapat menambahkan rasa cinta kepada mukjizat ini ...Al-Quran sahabatku dunia dan akhirat.


Salam Juang,

Nor Latifah Othman

1 comment:

  1. Assalamualaikum..

    Susunan rukun di atas disusun terbalik. Kalau diikutkan matan sememangnya begitu. Tetapi huraiannya berbeza. Perlu didahulukan sanad diikuti rasm dan diakhiri dengan bahasa arab.

    Sebenarnya telah berlaku 3 kali pembaharuan dalam pembahagian Qiraat. Bermula dengan 3 iaitu mutawatir, ahad, dan syaz. Kemudian ditambah 2 iaitu maudu' dan masyhur. Last sekali pembahagian yang dibuat oleh imam suyuti iaitu beliau menambah mudraj dan menjadikannya 6 bahagian. Namun pembahagian yang dibuat oleh imam suyuti agak terkesan dengan pembahagian hadis.

    Tambahan tentang tujuh huruf. Khilaf yang berlaku dalam mentakrifkan apakah itu tujuh huruf bukan terhad hingga 40 khilaf sahaja. Bahkan ada yang sampai 70 dan sebagainya.

    Namun salah faham yang amat ketara berkenaan tujuh huruf ini berlaku selepas imam ibnu mujahid menghimpunkan semua qiraat mengikut amsor dan disandarkan kepada imam yang masyhur di setiap amsor. Tindakan beliau pada ketika itu berpandukan ijma' ulamak bagi merawat masalah percampuran antara bacaan syaz dan mutawatir dalam kalangan ummat Islam.

    Akan tetapi setelah berlalunya masa, kaedah penyelesaian terbabit mengundang masalah yang lebih besar iaitu masyarakat umum beranggapan bahawa selain daripada qiraat 7 semuanya syaz dan qiraat 7 itulah yang dimaksudkan dengan tujuh huruf.

    Ana tidak berhajat untuk mentakrifkan apakah itu syaz kerana memerlukan masa yang panjang.

    Kesan daripada itu, ulamak kembali mengarang kitab bagi menepis fahaman 7 qiraat ialah tujuh huruf. Antara ulamak yang masyhur dalam membersihkan fahaman ini ialah imam ibnu ghalbun yang mengarang kitab at-tazkirah bagi qiraat 8 yang memuatkan ya'kub di dalamnya.


    Kesimpulan yang boleh diambil, kita sebagai golongan terkemudian ini disyorkan supaya tidak mentakwil apakah itu tujuh huruf dan berserahlah kepada Allah s.w.t..

    Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi ana di emel cendekiawanalhafiz@gmail.com

    ReplyDelete

FEEDJIT Live Traffic Feed